Semua budak kecil amat menyenangi Zaki. Hatta ketika sedang menangis sekalipun, tangisan anak itu akan reda. Itulah kelebihan Zaki. Secara lahiriah.
Namun di mata mereka yang mempunyai indera keenam, pemujuk anak-anak kecil itu sebenarnya bukan Zaki. Ada makhluk lain yang mendampinginya. Dan makhluk itu memerlukan bantuannya bagi melerai perpisahan lebih 40 tahun.
Bagi merungkai rahsia lebih 40 tahun lalu bukan mudah.Tentangan nenek kebayan, mawas puaka, orang minyak dan puntianak belaan saudaranya, menyebabkan Zaki terpaksa memohon bantuan daripada rakan lama yang mempunyai indera keenam.
Dengan gabungan tenaga mereka, Zaki cuba merungkai misteri yang membelengu keluarganya dan membebaskan dirinya daripada pendamping… sebelum semua ini cuba meragut nyawanya.
Zulkifli Ahmad Idrus, 48, berkelulusan Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan) Universiti Teknologi MARA (Mac 1991) dan pernah berkhidmat di Bernama dan akhbar The Star di awal tahun 90-an. Beliau pernah menghasilkan sebuah novel kanak-kanak bercorak kembara fantasi (Kembang Kumbang: Gerbang Pelangi) terbitan JS Adiwarna dan juga siri cerita-cerita seram bestseller MATA TAK BERHIJAB terbitan UKSB.
DAMPING adalah novel seram pertama beliau, yang masih didasarkan daripada gabungan beberapa kejadian sebenar yang berlaku di sekeliling dan penampakan yang dilihat beliau sendiri.