Johan terus berlari meredah semak rumput dan lalang menghala arah yang ditunjukkan oleh pak cik itu tadi. Agak jauh menjejak arah, dia bertemu jalan yang dicari-carinya sejak tadi. Johan tahu, itulah laluan utama di ladang getah itu. Sama juga seperti ladang sawit ayahnya, ada jalan utama untuk laluan lori membawa buah-buah sawit ke luar.
Johan berdiri di pinggir jalan melepaskan mengah yang keras. Ada sebuah motosikal di situ. Agaknya motosikal pak cik yang cedera itu, fikir Johan.
Terlintas di benaknya cara mudah sebaik sahaja terpandang kunci motosikal itu yang tidak ditanggalkan dari tempatnya. Namun dia tidak berani apabila teringatkan dia tidak ada lesen memandu.
Ah! Dalam ladang getah macam ini mana ada polis, getus hatinya. Bukannya hendak ke bandar. Dia hendak pergi minta pertolongan. Tidak boleh juga, itu motosikal orang. Tidak boleh ambil barang orang tanpa kebenaran tuannya. Berdosa. Bagaimana kalau-kalau kenderaan itu bukan kepunyaan pak cik yang sakit tadi?
Johan akur pada bisikan di dalam hatinya. Dia mahu berlari sahaja. Namun dia terperangkap lagi – tidak tahu hendak memilih arah mana; ke kanan atau ke kiri. Jika tersalah arah dia tidak akan keluar dari ladang getah itu. Mungkin akan pergi lebih jauh ke dalam ladang.
“Ya Allah! Tunjukkanlah arah yang betul. Mana satu harus aku ikut ni?” keluh Johan penuh harap.
Dia tidak berasa hendak mencuba nasib dengan memilih arah mengikut gerak hatinya. Jika tidak tepat, bukan sahaja membuang masa dan tenaga, malah membahayakan nyawa pak cik yang dia hendak tolong itu.
Mungkin dia perlu masuk semula mendapatkan pak cik itu dan bertanya arah mana harus dituju. Namun tidakkah itu juga membuang masa? Biarlah, lebih baik dia membuang sedikit masa untuk mengelakkan daripada membuang masa yang lebih banyak.
Semasa melintas semula di sisi motosikal yang tidak diketahui siapa tuannya itu, Johan terfikirkan sesuatu. Dia memerhatikan kedudukan motosikal itu. Motosikal itu menghala ke arah kanannya. Bermakna jika mengikut logiknya, sudah tentu motosikal itu datang dari arah kiri.
Dan Johan terpaksa membuat keputusan lebih berani – membawa motosikal itu bersamanya. Jika ditangkap oleh tuannya atau sesiapa, dia akan menjelaskan segala-galanya.
Dia sudah membazirkan banyak masa di situ. Sedangkan dia berusaha hendak menyelamatkan nyawa seseorang.
Tidak sampai sepuluh minit menunggang, Johan sudah tidak berada di dalam kawasan ladang getah lagi. Dia sudah memasuki kawasan kampung. Hatinya sungguh girang. Terlupa sebentar penat dan letih yang bergayutan di segenap sendi dan anggotanya. Terlupa sebentar pada misi penting yang harus diselesaikannya.
Johan memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana telah menemukannya jalan keluar dari hutan getah terbiar. Baru terasa panahan matahari menikam kulit. Lebih kurang lima ratus meter meneruskan lagi perjalanan, Johan bertemu sebuah jambatan kayu.
Tidak jauh dari kepala jambatan di sebelah sana terdapat satu simpang tiga. Ada sebuah warung dekat persimpangan itu. Johan nampak beberapa orang pelanggan berada di warung itu. Johan semakin tidak sabar. Namun semangatnya yang berkobar-kobar itu padam serta-merta.
Terasa darah menyirap ke muka. Panas. Dan jantungnya berdegup kencang. Dari kedudukannya itu,