Hasrizal Abdul Jamil berasal daripada Ipoh, Perak. Beliau seorang graduan Sarjana Muda Syariah (Kepujian) di Universiti Mu’tah, Jordan pada tahun 2001. Pernah berkhidmat sebagai Minister of Religion di Belfast Islam Centre di bawah tajaan The Al-Maktoom Foundation, UAE di samping bertugas sebagai Muslim Chaplain di The Queen’s University, Ireland Utara.
Kini, beliau bermastautin di Oulu di Finland.. Beliau berkhidmat sejak tahun 2014 sebagai Pengarah Pendidikan di Yayasan Pendidikan Khalifah yang menguruskan Khalifah Model School (Rendah) dan Khalifah Model School (Menengah). Beliau juga merupakan ahli Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berperanan menambah baik kurikulum dan sistem Pendidikan Negara. 13 orang pakar pelbagai bidang yang menganggotainya telah dilantik sendiri oleh Menteri Pendidikan Malaysia, ketika itu Dr Maszlee Malik.
Selain kegiatannya yang aktif dalam relung pendidikan, Ustaz Hasrizal terlebih dahulu masyhur sebagai seorang penulis yang prolifik terutamanya melalui blog utama beliau www.saifulislam.com. Karangan yang menaikkan nama beliau suatu ketika dahulu adalah Aku Terima Nikahnya yang diterbitkan pada tahun 2008. Sehingga kini, lebih 19 buah buku telah beliau karang. Beliau aktif berkongsi pelbagai renungan di samping travelog hidupnya di Facebook (@hasrizalabduljamil), Twitter (@hasrizal2020), Instagram (@iamhasrizal) dan Youtube (@iamhasrizal).