Dosa-dosa besar ini tidak mungkin dibiarkan tanpa mendapat kemurkaan Allah. Lalu sukar untuk tidak mengaitkan pelbagai tragedi yang menimpa negara ini sebagai balasan daripada dosa-dosa ini. Banjir luar biasa yang menimpa beberapa buah negeri, tanah runtuh dan kepanasan melampau adalah natijah daripada kemurkaan Allah. Lalu mereka yang melakukan dosa dan mereka yang membiarkan dosa-dosa dilakukan, menerima musibahnya. Kedengarannya seperti tidak adil. Namun hakikatnya, kita tidak dihukum atas apa yang kita lakukan, tetapi juga ata apa yang kita biarkan berlaku. Kerana membiarkan maksiat dan enggan mencegahnya adalah maksiat!
Lalu buku AKU BUKAN PENDOSA ini adalah sebuah buku bagi membantu masyarakat mengaudit kembali amalan hidup mereka seharian. Apakah terpalit dosa-dosa besar yang mereka lakukan secara sengaja atau tidak. 70 dosa yang disenaraikan dalam buku ini adalah dosa-dosa yang dilakukan manusia sepanjang zaman. Menariknya, sekali pun zaman berubah, dosa-dosa ini begitu kalis masa sehingga mampu bertahan hingga kini walau pun dengan wajah-wajah dosa yang berbeza.