Buku ini adalah sebuah catatan perjalanan penulis menyelusuri lipatan sejarah hebat hubungan Kerajaan Islam Turki dan Alam Melayu, yang disembunyikan!
Hubungan Turki-Melayu bukan sahaja hubungan diplomatik tetapi hubungan iman, jihad dan persaudaraan Islam. Turki sebagai pelindung umat Islam menganggap Alam Melayu sebagai sebahagian induk wilayah Islam keseluruhannya. Sejak zaman Sultan Sulaiman Agung, bahkan lebih awal, bantuan ketenteraan telah dihantar oleh Uthmaniyyah bagi membantu umat Islam Alam Melayu menentang Portugis. Kemudian, ketika pemerintahan Sultan Abdul Hamid II, bantuan ketenteraan turut dihantar ke Alam Melayu bagi menentang Belanda dan British. Ramai tentera Uthmaniyyah yang berjuang di Tanah Melayu menentang Portugis dan Siam tidak pulang kembali ke Turki, sama ada mereka gugur syahid atau meneruskan kehidupan di sekitar wilayah Patani. Patani adalah penempatan Melayu yang terlepas ke tangan Siam akibat permainan politik British-Siam.