Sitah tersenyum lagi. Kakinya mengorak langkah dalam gementar. Ruang tengah banglo mewah itu sesak dengan para tetamu yang pelbagai gelagat. Setiap kali berselisih dengan orang-orang kampung, Sitah tidak lupa menyapa mesra. Tangannya masih menggenggam erat sebuah bungkusan bereben merah. Dia menuju ke bilik berlangsir ungu muda yang terhias cantik. Hatinya tidak sabar-sabar lagi untuk menemui orang yang sangat dirindui. Langkah Sitah semakin lebar.